Subscribe News Feed Subscribe Comments

AJAR DAN DIDIK

Sukan MSSM di Perlis telah melabuhkan tirainya pada hari ini dan aku antara mereka yang berada di stadium sebagai penonton. Suasana pertandingan mengembalikan kenangan semasa aku membawa anak-anak didik bertanding ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan kawad. Begitu banyak susah payahnya untuk sampai ke peringkat kebangsaan, begitu banyak keringat dan tenaga untuk sentiasa mengetuk pintu kejayaan.

Untuk apa ? Hanya untuk nama atau hanya untuk sebuah piala dan selepas itu ke mana hala murid-murid dengan nama dan piala itu. Piala tidak menjamin kejayaan dalam peperiksaan. Kemegahan disanjung tidak menjanjikan keputusan cemerlang dalam UPSR. Adakah tugas aku mengajar atau mendidik ? Kedengaran seakan seperti sudah berputus asa dan mungkin keletihan. Mungkin itulah jawapan yang tepat bagi semuanya.

Tetapi pada suatu hari apabila beberapa orang gadis remaja datang menemui aku dan bertanya masih ingatkah aku kepada mereka ? Aku merenung sambil cuba mengingat. " Kami anak murid cikgu. Cikgu yang latih kami." Tiada sebarang hadiah yang dapat menggantikan ketika itu kerana perasaan bangga subur di hati apabila melihat mereka berjaya. Yang paling penting, mereka masih mengingat guru mereka yang sedang meniti usia. Malah kadang-kadang ada yang sudi menulis kata di blog ini sebagai tanda masih menghargai akan jasa guru ini.

Sudah pasti, nama dan piala tidak akan membawa mereka ke mana. Tetapi didikan dan ajaran yang diberi menjadikan mereka insan yang berguna. Nilai-nilai ini boleh dibaca dan dihafal di dalam buku tetapi tidak akan sama jika kita sendiri melaluinya. Aku rasa bertuah kerana mereka sudah berjaya dan akan terus berjaya. Masih ramai lagi yang belum bersua kerana masing-masing sedang berusaha untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan. Aku, guru, akan terus mengajar dan mendidik di dalam kelas atau di mana-mana sahaja kerana tugas guru bukan hanya di dalam kelas mengajar abc dan 123. Tugas guru adalah untuk melahirkan insan yang berguna kepada negara,agama dan bangsa.

Selamat Hari Guru untuk semua !
 
SHAIFUL FAIRUZ Blog | TNB