Subscribe News Feed Subscribe Comments

GURU IALAH IBU BAPA

Tugas seorang guru adalah mengajar. Sesiapa pun tahu tentang itu. Murid-murid sekolah pun tahu. Hakikatnya, tugas guru lebih daripada itu. Selain mengajar, guru ialah kerani, guru ialah jurulatih, guru ialah tukang kebun, guru ialah tukang cat, guru ialah jururawat, guru ialah penyiasat, guru ialah pendamai, guru ialah polis, guru ialah hakim dan pelbagai lagi tugas yang tidak termasuk dalam bidang kerja seorang guru. Paling utama dalam banyak tugas-tugas yang disenaraikan di atas, guru ialah ibu bapa. Inilah yang terjadi pada hari perjumpaan waris murid Tahun 6 2012 di SK Long Boh.

Majlis yang berlangsung dengan lancar itu telah menyebabkan aku tidak menyedari seorang murid lelaki Tahun 6 sedang duduk keseorangan tanpa ditemani oleh ibu atau bapanya. Sebab ketidakhadiran ibu bapanya tidaklah diketahui. Apabila tiba masa untuk membuat aku janji, murid tersebut berdiri keseorangan sambil memandang di sekeliling. Apa yang dilihatnya setiap rakannya berdiri di hadapan ibu bapa masing-masing. Aku yang melihat peristiwa itu terus meminta Teacher Diana untuk mengambil tempat di hadapan murid itu. Tanpa berlengah Teacher Diana terus menuju ke sisi murid itu dan duduk di hadapannya seolah-olah seorang ibu sedang melihat anaknya membuat aku janji.

Mungkin bagi orang lain, peristiwa itu hanya perkara yang kecil dan remeh dan tidak perlu diperbesarkan tetapi sekeping gambar menceritakan segalanya. Keluhuran hati seorang guru yang sedia mengambil tempat ibu bapa walaupun hanya sebentar sudah cukup memberi impak yang besar kepada murid itu. Sudah tentu perkara seperti ini berlaku di seluruh negara kerana hanya guru yang mampu menjadi ibu bapa kepada anak-anak orang lain sepanjang tahun. Terima kasih cikgu !
 
SHAIFUL FAIRUZ Blog | TNB