Subscribe News Feed Subscribe Comments

SK Permas Jaya 1 (Johor Bahru ) Dalam Kenangan

Baru-baru ni saya dapat berhubung dengan seorang cikgu yang pernah bertugas bersama-sama saya di SK Permas Jaya 1.Dia ialah Abdul Kadir Khanan dan mula bertugas di SK Permas Jaya pada tahun 1997 sehinggalah 2002. Kalau tidak silap saya, Cikgu Kadir ni memang seorang yang berdedikasi semasa mengajar. Kalau dia mengajar, suaranya boleh dengar jauh sebatu.

             Ini membuatkan saya  terus menyelongkar album lama dan mula mencari gambar-gambar semasa di sana. Saya uploadkan beberapa keping gambar yang ada pada saya sebagai mengingati kenangan di SKPJ1.

               Buat pengetahuan rakan-rakan seperjuangan di SK Permas Jaya yang mengenali saya, pada bulan Disember 2008, saya telah kembali ke SK Permas Jaya 1 buat kali pertama sejak perpindahan saya pada tahun 1999. SKPJ1 telah banyak berubah dan yang masih berada di SKPJ 1 ialah Cikgu Sanat iaitu rakan yang sama-sama posting pada tahun 1995. Walaupun saya tak sempat berjumpa dengan Sanat tapi saya sempat berjumpa dengan Cikgu Nordin dan isterinya Kalthum yang kini tinggal di kuaters guru di Permas Jaya. Daripada Nordin saya dapat tahu tentang rakan-rakan yang lain. Kebanyakkannya telah bertukar sekolah di sekitar kawasan Johor Bahru dan juga pulang ke kampung masing-masing. 

             Mungkin Cikgu Kadir juga dah balik ke kampung sendiri. Cikgu Fairuz pula sedang melanjutkan pelajaran di UUM. Masih ingatkah dengan Cikgu Azman dan Cikgu Zuriah yang berpindah ke Perak ? Jangan terkejut kerana mereka kini berada di Perlis dan apabila kami berjumpa, tentulah yang banyak dibualkan ia;ah kenangan semasa di SK Permas Jaya 1. Kalau nak diceritakan tentang pengalaman di SKPJ1 mungkin tak habis. Jika adalah lagi rakan-rakan lain dari SKPJ 1 yang membaca blog saya, jangan malu-malu untuk menghubungi saya.Saya sememangnya menantikan khabar berita dari bekas guru-guru SKPJ1 dan juga bekas anak murid saya.

Kecil tapak tangan, Stadium Utama Kangar saya tadahkan.

 

Gambar semasa perhimpunan pagi. Disebelah saya tu Hairi dan Sanat. Kami sama-sama posting. Yang manis tersenyum tu sampai nampak gigi ialah Cik Zalila sekarang dah Puan.

Bersama Cikgu Nordin dan pasukan bolasepak bawah 11 SKPJ1. Kami jadi johan !

Gambar dengan pelajar kelas saya. Tahun 1999 ( Kelas Tahun 5 ) Agaknya dah besar-besar anak murid saya ni.

Gambar cikgi-cikgi SKPJ1. Yang kanan sekali tu isteri saya. Yang comel tengah-tengah tu Kak Aji.

Gambar dengan ahli PIBG merangkap guru yang mengajar saya tentang sistem audio.

SELAMAT HARI GURU

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru untuk semua guru di Malaysia dan khasnya untuk guru-guru di SK Permas Jaya 1 ( 1995-1999), SJKC Yok Eng ( 2000-2006 ) , SK Permatang Tok Mahat ( 2006-2008 ) dan SK Long Boh ( 2009 ). Disini saya paparkan semula sajak "Guru Oh Guru" sebagai penghargaan kepada semua guru. 

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Hari Guru Bagi Seorang Guru Disiplin

          Pada 16 Mei ini kita akan menyambut Hari Guru sekali lagi. Seakan sudah menjadi tradisi, anak-anak murid akan memberi hadiah kepada guru mereka. Namun begitu dalam kesibukan guru-guru menerima hadiah dan ucapan hari guru dari anak didik mereka, ada guru yang seakan-akan terlepas dari tradisi ini iaitu guru disiplin sekolah.

        Guru disiplin boleh dikatakan guru yang paling ditakuti oleh murid-murid di sekolah. Sebuah kelas yang bising akan senyap apabila ternampak bayangan guru disiplin, murid akan menyimpang apabila ternampak kelibatnya, ada yang menangis apabila dipanggil dan berbagai-bagai lagi.

        Pernah seorang guru yang telah lama terlibat dengan jawatan guru disiplin memberitahu saya, guru disiplin adalah guru yang paling sedikit menerima hadiah ataupun ucapan hari guru. Sebaliknya berbagai-bagai niat yang tidak baik dilakukan kepada seorang guru disiplin seperti surat layang, memancitkan kereta guru dan lain-lain lagi . Sebagai seorang bekas guru disiplin saya mengakui akan perkara tersebut tetapi bagi saya bukan hadiah yang menjadi ukuran , selagi kita menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

       Cukup sekadar mengetahui semua masalah dapat diselesaikan dengan seadil-adilnya, semua murid mematuhi peraturan sekolah, semua murid dapat mendisiplinkan diri, semua murid dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan selamat walaupun bukan seratus peratusnya. Memenuhi tanggungjawab dan amanah merupakan satu kepuasan  dapat membantu memulihkan semangat samada dari segi fizikal dan mental dalam menjalankan tugas sepanjang sesi persekolahan. 

       Bukan hadiah dan ucapan yang dipinta, cukup sekadar mengetahui mereka memahami akan peraturan-peraturan,nilai-nilai yang baik  untuk dijadikan bekalan di masa hadapan. Ucapan atau hadiah hanyalah bonus bagi seorang guru disiplin.

Selamat Hari Guru untuk semua guru disiplin di Malaysia.

Artis Dijulang, Doktor dan Guru Pula Dicemuh

              "Petikan ini saya copy dan paste daripada blog Cikgu Malaysia. Saya dapati apa yang disampaikan mencerminkan keadaan masyarakat Malaysia yang berlaku pada masa kini.Saya berharap bagi pembaca petikan ini dapat membezakan sesuatu yang baik ataupun tidak supaya kita tidak terus hanyut dalam dunia yang penuh dengan keseronokan sementara sahaja."

ANUGERAH Industri Muzik (AIM) kali ke-16 baru sahaja melabuhkan sauhnya. Artis-artis yang ditabalkan sebagai pemenang dalam kategori masing-masing pulang dengan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Pengiktirafan demi pengiktirafan dihamparkan kepada golongan artis atas jasa menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.

            Malah artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara telah meraih sebanyak lebih daripada 150 anugerah seni dalam dan luar negara hasil daripada nyanyiannya yang berjaya menghibur para pendengar.

            Terbaru, Tomok pula dianugerahkan dengan ganjaran RM1 juta kerana memenangi pertandingan One In A Million.Meet Uncle Hussain juga tidak kurang hebatnya apabila telah mengungguli tiga anugerah hiburan berprestij tahun ini iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, Anugerah Bintang Popular dan AIM ke-16.

             Di sudut yang lain, doktor yang bergadai nyawa siang dan malam menyelamatkan nyawa ribuan manusia jarang diberi penghormatan sebesar itu, malah sering dipersalahkan atas kelemahan dan kecuaian yang berlaku.

             Mungkin tidak ramai yang prihatin apabila para doktor dan jururawat sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali negara dilanda wabak penyakit yang merungsingkan semua.Lihat sahaja ketika ini, di saat seluruh dunia bimbang akan penyebaran virus influenza A (H1N1), para doktor berkorban nyawa, menanggung risiko kemungkinan dijangkiti wabak itu, apabila mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas memeriksa setiap pelawat yang tiba di pintu masuk utama negara.

              Mereka dikerah bertugas siang dan malam semata-mata bagi mengawal penyebaran wabak ini kepada rakyat Malaysia.Perkara serupa juga berlaku ketika negara diserang virus JE dan virus Nipah. Para doktor dan jururawat jugalah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, sehingga ada di kalangan mereka yang turut dijangkiti virus itu.

              Selayaknya para doktor dan jururawat diberi penghormatan yang sebesar-besarnya atas jasa bakti menyelamatkan seluruh warga negara Malaysia tanpa mengira kaum dan ikutan agama daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.

              Kecuaian yang mungkin dilakukan oleh sesetengah pengamal perubatan tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekehkan mereka, sehingga seolah-olah segala jasa bakti kepada negara dilupakan begitu sahaja.

              Sebagai manusia biasa yang tidak maksum, semua perlu sedar bahawa kekurangan dan kealpaan merupakan sifat semula jadi manusia. Malah yang afdal, segala kelemahan dan kecuaian yang berlaku diganti dengan usaha-usaha penambah baikkan untuk manfaat bersama.

              Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ''Semua anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat, berhenti daripada melakukan kesalahan itu.''

             Golongan guru juga sering menerima nasib yang sama. Setiap kali pelajar dihukum kerana kenakalan anak-anak, mereka dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata nista. Masyarakat kelihatan alpa dengan cabaran dunia pendidikan masa kini yang jauh berbeza daripada zaman lalu.

             Sering kali dilaporkan berita murid membelasah guru dan tidak kurang juga terdapat laporan-laporan yang melibatkan salah laku guru. Semua ini berlaku kerana faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada masalah yang berlaku.

             Oleh itu, ungkapan guru umpama lilin, membakar diri untuk kebahagiaan orang lain selayaknya dihayati dengan rasa tanggungjawab bersama. Ini kerana tugas memberi pendidikan tidak hanya terbatas kepada guru di sekolah sepenuhnya.

             Ibu bapa juga wajar memainkan peranan sebagai pendidik kepada anak ketika mereka di rumah. Malah jika diteliti, mereka lebih lama berada di rumah berbanding di sekolah yang hanya memakan masa lebih kurang tujuh hingga lapan jam sahaja sehari.

             Ibu bapa juga disaran menjadi contoh teladan terbaik kepada anak-anak dengan sentiasa melakukan ketaatan dan kebajikan.

            Amalan solat berjemaah bersama seluruh ahli keluarga selain dapat merapatkan hubungan dengan Allah SWT juga mampu menjadi mekanisme terbaik kepada pendidikan anak-anak.

            Tulisan ini tidak bermaksud untuk menyatakan isu betul dan salah, sebaliknya marilah kita seluruh warga negara atas prinsip One Malaysia, bersama berganding bahu memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

            Amalan menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan untuk kejayaan bersama. Adalah lebih manis jika cadangan-cadangan penambahbaikkan disalurkan kepada pihak-pihak tertentu agar perkara serupa tidak berulang kembali.

MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya,
Johor Bahru
UMO
 
SHAIFUL FAIRUZ Blog | TNB