Pada 16 Mei ini kita akan menyambut Hari Guru sekali lagi. Seakan sudah menjadi tradisi, anak-anak murid akan memberi hadiah kepada guru mereka. Namun begitu dalam kesibukan guru-guru menerima hadiah dan ucapan hari guru dari anak didik mereka, ada guru yang seakan-akan terlepas dari tradisi ini iaitu guru disiplin sekolah.
Guru disiplin boleh dikatakan guru yang paling ditakuti oleh murid-murid di sekolah. Sebuah kelas yang bising akan senyap apabila ternampak bayangan guru disiplin, murid akan menyimpang apabila ternampak kelibatnya, ada yang menangis apabila dipanggil dan berbagai-bagai lagi.
Pernah seorang guru yang telah lama terlibat dengan jawatan guru disiplin memberitahu saya, guru disiplin adalah guru yang paling sedikit menerima hadiah ataupun ucapan hari guru. Sebaliknya berbagai-bagai niat yang tidak baik dilakukan kepada seorang guru disiplin seperti surat layang, memancitkan kereta guru dan lain-lain lagi . Sebagai seorang bekas guru disiplin saya mengakui akan perkara tersebut tetapi bagi saya bukan hadiah yang menjadi ukuran , selagi kita menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.
Cukup sekadar mengetahui semua masalah dapat diselesaikan dengan seadil-adilnya, semua murid mematuhi peraturan sekolah, semua murid dapat mendisiplinkan diri, semua murid dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan selamat walaupun bukan seratus peratusnya. Memenuhi tanggungjawab dan amanah merupakan satu kepuasan dapat membantu memulihkan semangat samada dari segi fizikal dan mental dalam menjalankan tugas sepanjang sesi persekolahan.
Bukan hadiah dan ucapan yang dipinta, cukup sekadar mengetahui mereka memahami akan peraturan-peraturan,nilai-nilai yang baik untuk dijadikan bekalan di masa hadapan. Ucapan atau hadiah hanyalah bonus bagi seorang guru disiplin.
Selamat Hari Guru untuk semua guru disiplin di Malaysia.