Cikgu Azreezul menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kangar dan di sisi beliau ialah ahli keluarganya dan rakan-rakan yang mengenali beliau. Walaupun saya hanya mengenali beliau tidak sampai lima bulan namun dalam masa yang singkat itu saya sempat mengenali hati budinya. Tidak dapat digambarkan perasaan ini semasa menerima berita yang Cikgu Azreezul sedang tenat di hospital dan apabila sampai di sana saya disambut dengan berita yang beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir. Terasa sungguh kehilangan seorang rakan seperjuangan. Rasanya masih belum cukup masa bersama dan masih banyak ilmu yang boleh dimanfaat dari beliau. Takdir juga yang menentukannya dan hanya Allah Yang Maha Esa yang mengetahuinya.
Buat Cikgu Azreezul, dirimu akan kami kenang selalu, jasamu akan kami ingat selalu. Kami di Sekolah Kebangsaan Long Boh akan meneruskan perjuangan ini biarpun dirimu sudah tiada. Al Fatihah.PERGINYA SEORANG RAKAN SEPERJUANGAN
Pertandingan Kawad Peringkat Daerah SPS 2009
Pada 28 Mac 2009, saya telah menghadiri pertandingan kawad yang telah diadakan di Stadium Batu Kawan. Bertolak dari Perlis pada jam 6.30 pagi, saya sampai ke rumah keluarga saya pada jam 9.00 pagi. Sewaktu saya sampai di stadium pertandingan telah dimulakan. Pertandingan tahun ini lebih meriah kerana bilangan penyertaan melebihi 60 pasukan iaitu tahun yang paling banyak penyertaan sejak pertandingan ini diperkenalkan.
Pertandingan kawad ini dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu kategori sekolah rendah, sek. men TKRS, NGO dan badan kerajaan. Setiap kategori dibahagikan kepada dua iaitu putera dan puteri. Hadirnya saya pada hari itu adalah untuk memberi sokongan kepada bekas anak didik saya dari Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat. Saya telah melatih pasukan kawad ini sejak dari tahun 2006 sehinggalah saya bertukar ke Perlis pada tahun 2009.
Pasukan ini telah berjaya menjadi johan dan telah mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan selama 6 tahun berturut-turut. Saya amat berharap bahawa pasukan kawad TKRS SKPTM berjaya menjadi johan buat kali ke tujuh dan seterusnya bertanding di peringkat negeri. Saya juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan dan ramai diantara mereka yang masih tidak mengetahui bahawa saya telah berpindah ke Perlis. Jadi saya rasa amat bertuah dan gembira kerana dapat berjumpa dengan mereka .
Bekas anak didik saya agak gembira apabila dapat bertemu dengan saya. Saya mengambil peluang bercerita dengan mereka tentang pengalaman mereka berlatih sejak peninggalan saya. Saya bersyukur mereka yang terlibat dengan pasukan kawad masih terus setia bersama pasukan ini di samping penambahan ahli-ahli baru bagi menggantikan ahli-ahli yang telah naik ke sekolah menengah.Murid-murid yang telah naik ke sekolah menengah juga turut berjumpa dengan saya sambil bertanya khabar. Amat bertuah kerana apa yang diajar oleh saya masih diamalkan oleh mereka walaupun dimana mereka berada.
Apabila pertandingan tamat Pasukan TKRS SKPTM sekali lagi telah dinobatkan senagai johan daerah buat kali ke 7 . Saya adalah salah seorang yang turut gembira di atas kejayaan mereka kerana saya tahu untuk menjadi sebuah pasukan yang berjaya , sesi latihan yang berterusan perlu dilakukan. Tahniah buat pasukan kawad SKPTM. Saya doakan kejayaan seterusnya di peringkat negeri nanti.
Guru Oh Guru
Masyarakat kini semakin lupa akan jasa seorang guru. Mereka seolah-lupa bahawa sejarah mereka telah dimulakan oleh seorang guru, tidak kiralah guru itu seorang guru biasa atau guru agama. Saya paparkan sebuah sajak yang ditulis oleh sasterawan negara iaitu saudara Usman Awang untuk renungan kita bersama.
Guru Oh Guru
Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa ,
Jika hari ini seorang raja menaiki tahta ,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara ,
Jika hari ini seorang ulama mulia ,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara ,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka ,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa ,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa ,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
Sek Keb. Permas Jaya 1 ( Johor Bahru )
Inilah sekolah dimana saya mula-mula mengajar iaitu Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 1 yang terletak di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, Johor. Sekolah ini dulunya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Plentong, mula beroperasi pada 20 Jun 1988. Sekolah ini mempunyai seramai 1670 orang murid dan 76 orang guru ( 1996 ) dan beroperasi dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.
Mula bertugas di SKPJ1 pada bulan Disember 1995 merupakan pengalaman yang tidak ternilai. Saya bertolak dari Pulau Pinang untuk melapor diri bersama rakan-rakan dengan menaiki bas ekspress. Pada masa itu saya rasa sudah berdikari tidak seperti budak-budak sekarang yang melapor diri bersama ibubapa masing-masing malah kadang-kadang mak cik dan pak cik pun datang sekali.Tiba di Johor Bahru pada pukul 5.00 pagi berhampiran dengan stesen keretapi Johor Bahru. Kami menunggu di situ sehingga 8.00 pagi untuk mengambil motorsikal yang telah dipos terlebih dahulu. Kemudian kami menumpang di rumah kenalan di Skudai. Sehinggalah kami mendapat rumah sewa di Taman Johor Jaya.
Sepanjang saya berada di SKPJ1 saya telah berkhidmat di bawah dua orang guru besar iaitu En Abd Rashid B. Haji Saidun dan Tuan Haji Jamale Bin Haji Paiman. Minat yang mendalam dalam bidang bola sepak telah mendorong saya melibatkan diri dalam melatih pasukan sekolah dan alhamdullilah berjaya menjadi johan pertandingan bawah 11 pada tahun 1999. Satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Selain itu saya juga telah dilantik menjadi pemimpin pasukan pengakap SKPJ1. Banyak lagi pengalaman yang berharga saya perolehi sewaktu saya berkhidmat di Johor terutamanya di SKPJ1 yang telah membentuk dan mendisiplinkan diri saya sebagai seorang warga pendidik. Kenangan bersama-sama guru-guru di SKPJ1 merupakan satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Adalah mustahil untuk saya menyebut semua nama mereka tetapi andaikata mereka membaca nukilan yang tak seberapa ni dan masih mengenali saya sudi-sudilah untuk menghubungngi saya.
Salam Buat Semua
Saya kini berada di Negeri Perlis setelah bertugas di Pulau Pinang selama 8 tahun dan di Negeri Johor 5 tahun. Ini adalah catatan saya yang pertama sebagai pengenalan. Insyaallah akan saya kongsi pengalaman yang menarik sepanjang saya berada di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Jumpa lagi !