Pada 28 Mac 2009, saya telah menghadiri pertandingan kawad yang telah diadakan di Stadium Batu Kawan. Bertolak dari Perlis pada jam 6.30 pagi, saya sampai ke rumah keluarga saya pada jam 9.00 pagi. Sewaktu saya sampai di stadium pertandingan telah dimulakan. Pertandingan tahun ini lebih meriah kerana bilangan penyertaan melebihi 60 pasukan iaitu tahun yang paling banyak penyertaan sejak pertandingan ini diperkenalkan.
Pertandingan kawad ini dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu kategori sekolah rendah, sek. men TKRS, NGO dan badan kerajaan. Setiap kategori dibahagikan kepada dua iaitu putera dan puteri. Hadirnya saya pada hari itu adalah untuk memberi sokongan kepada bekas anak didik saya dari Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat. Saya telah melatih pasukan kawad ini sejak dari tahun 2006 sehinggalah saya bertukar ke Perlis pada tahun 2009.
Pasukan ini telah berjaya menjadi johan dan telah mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan selama 6 tahun berturut-turut. Saya amat berharap bahawa pasukan kawad TKRS SKPTM berjaya menjadi johan buat kali ke tujuh dan seterusnya bertanding di peringkat negeri. Saya juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan dan ramai diantara mereka yang masih tidak mengetahui bahawa saya telah berpindah ke Perlis. Jadi saya rasa amat bertuah dan gembira kerana dapat berjumpa dengan mereka .
Bekas anak didik saya agak gembira apabila dapat bertemu dengan saya. Saya mengambil peluang bercerita dengan mereka tentang pengalaman mereka berlatih sejak peninggalan saya. Saya bersyukur mereka yang terlibat dengan pasukan kawad masih terus setia bersama pasukan ini di samping penambahan ahli-ahli baru bagi menggantikan ahli-ahli yang telah naik ke sekolah menengah.Murid-murid yang telah naik ke sekolah menengah juga turut berjumpa dengan saya sambil bertanya khabar. Amat bertuah kerana apa yang diajar oleh saya masih diamalkan oleh mereka walaupun dimana mereka berada.
Apabila pertandingan tamat Pasukan TKRS SKPTM sekali lagi telah dinobatkan senagai johan daerah buat kali ke 7 . Saya adalah salah seorang yang turut gembira di atas kejayaan mereka kerana saya tahu untuk menjadi sebuah pasukan yang berjaya , sesi latihan yang berterusan perlu dilakukan. Tahniah buat pasukan kawad SKPTM. Saya doakan kejayaan seterusnya di peringkat negeri nanti.