Pada 19 Jun 2009, saya telah membawa para pelajar saya ke perkhemahan peringkat kawasan. Tujuan perkhemahan diadakan amatlah baik. Pelajar-pelajar yang terlibat akan mendapat banyak ilmu perkhemahan sepanjang 3 hari 2 malam mereka berada di sini.
Tapi apa yang nak saya ceritakan ini adalah sebagai pengajaran dan pedoman kita semua. Pada malam pertama di kem ini, satu sesi suaikenal telah dijalankan oleh fasilitator yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar lepasan menengah yang datang membantu secara sukarela. Acara bermula dengan nyanyian dan permainan dan seterusnya fasi-fasi ini telah mengadakan satu sesi untuk menguatkan semangat ! Bermula dengan kisah benar daripada fasi sendiri ( sejauh mana kebenarannya tak pasti ! )dan diikuti dengan lakonan dan suara-suara yang meremangkan saya sendiri. ( Tak dapat diterangkan secara terperinci )
Kami sebagai guru-guru pengiring agak gusar dan bimbang akan emosi pelajar-pelajar kami yang rata-ratanya berusia 12 tahun ke bawah dan kebanyakkan dari mereka, inilah pengalaman pertama mereka berkhemah. Kebimbangan menjadi kenyataan apabila sesi itu dihentikan oleh pihak urusetia. Agak terlambat apabila beberapa orang pelajar perempuan mula menangis ketakutan dan suasana menjadi lebih genting apabila dua pelajar telah pengsan sehingga terpaksa dipapah.
Apa yang mengecewakan ialah fasi-fasi ini tidak mengetahui aktiviti yang sesuai bagi pelajar-pelajar sekolah rendah. Aktiviti untuk para pelajar menengah dan belia tak semestinya sesuai untuk pelajar sekolah rendah. Bersikap seperti tong kosong hampir menyebabkan satu malapetaka terjadi. Kegagalan mereka untuk memberi rawatan kepada pelajar yang pengsan juga menimbulkan perasaan geram. Yang hanya dilakukan hanyalah mengusung pelajar tu ke sana sini. Atas campurtangan dari beberapa orang guru pengiring maka pelajar-pelajar itu telah dibawa ke hospital.
Syukurlah peristiwa itu tamat dengan pelajar-pelajar termasuk yang menangis telah tertidur, mereka yang dibawa ke hospital telah kembali semula setelah mendapat rawatan dan keadaan menjadi aman. Semoga setiap aktiviti yang dirancang mestilah sesuai dengan tahap budak dan bukannya hanya nak "syok sendiri".
Baru hari pertama ! Esok dan lusa harap-harap berjalan dengan lancar setelah apa yang terjadi. Buat adik-adik fasi , lain kali rajin-rajinlah bertanya dan berbincang dengan guru-guru dan orang-orang yang telah melalui semua ini. Rajin bertanya tak kan menyebabkan martabat kita menjadi semakin rendah.
Hari pertama di tapak perkhemahan.