Subscribe News Feed Subscribe Comments

GAYA HIDUP KU



Ada gaya seorang atlet tak ? Atlet in the making he he he.



Cuba teka siapa ni ? Betul! Inilah my partner in life .

Inilah aktiviti yang aku lakukan sekarang pada setiap petang kalau tak pi main badminton. Aku rasa tahap kesihatan semakin baik dan tahap kecergasan makin tinggi. Kalau hari tu, aku main badminton setakat 1 set, tetapi kini dah boleh main sampai 3 hingga 4 set. Cuma nak kata 100 % cergas......belum lagi. Yang penting aku rasa makin cergas. Orang rumah pun join sekali. Jadi adalah orang yang meneman semasa berlari. Kalau tak boring lari sorang-sorang.

Kalau dulu aku terlalu kepada aktiviti sekolah seperti kawad dan melatih pasukan bola sampai lupa untuk bersenam. Menyebabkan bila bersukan aku rasa tak cergas. Aku tahu .... tapi aku tak buat apa-apa pun !

Kini sejak balik Perlis......dalam kesibukkan menjaga anak, sekolah dan pembelajaran aku di OUM......aku mencari masa bersenam. Dah jadi rutin harian....Pada member-member yang mengenali aku.....ada pesan.....mulalah bersenam. Kita masih muda dan masih panjang perjalanan kita jika diizinkan oleh Allah S.W.T. Terutamanya geng catur di SKPTM. (Tak keluar peluh la !)

P.s : Jangan marah ! Gurau Ja !

KISAH KETAM MENGAJAR ANAK BERJALAN


Kisah ini berlaku di sebuah negara bernama Ketambola. Pada suatu hari Raja ketam ni memanggillah anak-anaknya dengan tujuan nak mengajar ilmu sivik. Setelah semua berkumpul maka raja ketam pun berkata kepada anak-anaknya "ada beberapa perkara yang hendak aku sampaikan".

Perkara Pertama, Jangan sesekali lewat masuk ke dalam lubang masing-masing. Tak baik !

Perkara Kedua, Bila buat kerja mesti bersungguh-sungguh. Jangan curi tulang. Berdosa !

Perkara Ketiga, Nak buat sesuatu kena bagi tau dekat raja ketam . Kira taat la tu.....

Perkara Keempat , Kalau nampak ketam betina, jangan cepat tergoda

Faham !" Kata Raja Ketam. Maka salah seekor anak ketam mengangkat tangan lalu berkata.

"Bapa ketam juga selalu lewat masuk lubang dan kadang-kadang tak masuk langsung.

Bapa ketam selalu duduk saja tak buat apa. Jalan sana jalan sini.

Bapa ketam juga selalu menghilangkan diri tak bagi tau kat mana-mana ketam.

Paling teruk ! Bapa ketam kan bila nampak ketam betina terus jadi macam lembu kena cucuk hidung !

Jadi kami nak ikut yang mana satu ?" Kata anak ketam.

"Ikut suka hang la !" Kata bapa Ketam dengan perasaan yang geram.

Kesimpulannya......sendiri mau ingat aaaa

AKTIVITI AKROBATIK MERANGSANG OTAK

Gambar dari KOSMO online

Wah ! Terkejut aku apabila tengok gambar ini. Adalah menjadi kepercayaan mereka apabila melakukan aktiviti akrobatik ini, dapat merangsang otak kanak-kanak. Kalaulah aku buat macam ni dekat rumah sudah tentu emak atau bapa mentua marah punya. Marah besar dan kalaulah orang lain tengok , nescaya tidak lama kemudian sampailah datuk-datuk polis ke rumah bawa aku ke balai kerana kes dera.


Kesimpulannya......tak sanggup aku. Kalau nak merangsang otak pun, mungkin ada cara lain. Katakanlah kalau terlepas ! Naya oooooooo.

BADMINTON OH BADMINTON

Baru-baru ni, aku mula bermain badminton semula dengan rakan-rakan di Perlis ni. Habislah duit dekat RM 200 nak melengkapkan diri. Maklumlah...... dah lama tinggalkan. Raket lama pun dah tak tau pergi ke mana. Tapi sungguh tidak di sangka-sangka rupa-rupanya aku ni dah tak ada tenaga nak main badminton. Tak sempat habis game pertama, dah tercungap-cungap mengalahkan orang lari maraton. Last aku main ialah tahun 1999 di Johor Bahru. So kira dekat 10 tahun la tu. Member lain aku tengok macam tak ada apa. Relax ja. Aku pun tak tau macam mana kecergasan fizikal aku boleh turun begitu rendah. Fikir-fikir punya fikir, aku nak try lagi 3 sesi permainan. Kalau tak boleh juga, mungkin aku kena berhenti dulu dan melakukan senaman yang lebih ringan contohnya berjogingatau pun skipping. Bukan apa......kesian dekat member-member yang lain, menganggu " rthym of play" ja. End of the story........tunggu lagi 3 sesi game. Lepastu baru buat keputusan.

Hari-Hari Guru

Walaupun dah agak terlewat , saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru untuk semua guru yang masih mengajar , sudah pencen mahupun yang sudah tiada lagi di dunia ini .

Istimewanya hari guru ini ? Macam selalu...........

Hari Guru....... Guru yang merancang aktiviti... Guru yang mengelolakan aktiviti..... Guru yang menjadi peserta...... Guru yang menjadi hakim....... Guru yang menghebahkan pemenang..... Guru yang membuat persembahan... Guru yang lebih bertepuk tangan......... Guru yang mencari hadiah........ Guru yang membawa hadiah....... Guru juga memberi hadiah..... dan banyak lagi............. .

Sampai bila ? Mungkin sampai bila-bila . Selamat Hari Guru !.

GURU DIHENTAM ! ANTARA IMAGINASI DAN REALITI

Adakah Masyarakat Memahami Tugas Guru?
Sejak kebelakangan ini banyak isu diperkatakan tentang kerjaya seorang guru. Bertambah kecoh apabila sebuah stesen radio menjadikan isu kerjaya guru sebagai topik perbincangan pada waktu pagi. Maka..... berduyun-duyunlah insan-insan yang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pelajar tetapi tidak pernah menjadi guru telah bertindak menghentam guru.
Fahamkah mereka ? Kalau setakat melihat dari luar atau mendengar cerita takkan sama dengan insan yang berada di tengah-tengah gelanggang. Bacalah. Renungkanlah sejenak apa yang telah saya tulis ini.
Petikan ini ialah sebuah rencana tentang masyarakat dan guru yang ditulis dalam sebuah majalah pendidikan. Rencana tersebut telah ditulis dalam Bahasa Inggeris dan saya amat tertarik dengan apa yang diperkatakan. Saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan balik apa yang diperkatakan walaupun tidak 100% dari petikan asal namun maksudnya tetap sama.
Masyarakat sering membuat tanggapan bahawa tugas guru adalah senang kerana guru hanya kerja sekerat hari. Guru juga mempunyai cuti yang panjang terutamanya akhir tahun. Selain itu guru hanya mengajar 30 orang murid-murid dan murid sekolah rendah tidak bersikap kurang ajar seperti murid sekolah menengah.TUGAS GURU JUGA AMAT MUDAH IAITU PERGI MENGAJAR DAN KEMUDIAN BALIK ! Adakah benar apa yang diperkatakan itu ????
Cuti Yang Panjang Tidak Mencukupi.
Hampir semua guru amat menghargai cuti yang diberikan kepada mereka. Walaubagaimanapun berdasarkan pengalaman seorang guru, cuti yang diberi sebenarnya tidak mencukupi untuk memulihkan diri dari segi EMOSI dan FIZIKAL setelah mengharungi tugas-tugas getir sepanjang sesi persekolahan tahun tersebut. Keletihan ini boleh disamakan dengan melahirkan anak dan berpindah rumah dimana hanya masa yang akan membolehkan kita untuk mengumpul semula kekuatan dan keyakinan untuk terus mengajar di tahun-tahun berikutnya.
Menghadapi Masalah Berkaitan Dengan Isu Kebersihan
Masyarakat tidak dapat memahami masalah yang berkaitan dengan fungsi tubuh badan manusia seperti yang dihadapi oleh guru-guru di sekolah rendah pada setiap hari. Membuang air besar dan kecil di dalam seluar merupakan salah satu masalah yang terlalu MENJIJIKKAN untuk diceritakan secara terperinci di sini. Ada sebuah kes di mana murid tahun tiga masih memakai lampin dan baunya amat busuk. Ingin saya bertanya ? Adakah sejumlah wang dan cuti yang panjang dapat MENGGANTIKAN kepayahan dan kesusahan membersihkan muntah di dalam kelas dengan menggunakan kedua-dua tangan sendiri ?
Bersambung..............................

SEBUAH KISAH DALAM DIARI SEORANG GURU

             Pada suatu pagi kelihatan seorang murid perempuan dipimpin tangan oleh ayahnya melangkah ke kelas Tahun 2. Terpancar kebimbangan di wajah murid itu kerana lewat ke sekolah. Murid itu disambut oleh dengan senyuman oleh guru yang baru pertama kali mengajar di Tahun 2.

               Selepas bapa murid itu pulang, guru tadi memegang tangannya lalu membawa semula ke luar kelas dan guru itu memintanya masuk semula ke dalam kelas dengan cara yang betul. Setelah guru itu kembali ke mejanya, murid tersebut masih tidak masuk ke dalam kelas. Guru tersebut berasa hairan lalu menjenguk keluar. Apabila ternampak wajah cikgunya, maka murid itu mendapatkan gurunya.

              Guru itu pun dengan penuh sabar mengajar murid perempuan tadi cara yang betul untuk meminta maaf kerana terlewat. Maka bertanyalah guru itu kepada murid tadi kenapa dia lewat. Murid itu memberitahu bahawa ayahnya terlewat bangun. Bertanya lagi guru itu, " dimanakah emak kamu ?". Murid itu menjawab, " emak saya dah meninggal hari Khamis lalu."

                Tersentuh hati cikgu melihat anak muridnya yang mula berlinangan air mata. Lebih hiba lagi apabila anak muridnya itu terus memeluknya sambil menangis seolah-olah cuba mencari perlindungan dari seorang ibu. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab beliau memujuk murid itu untuk mententeramkan dan menenangkan perasaan murid yang baru kehilangan ibu.

Cerita ini adalah cerita benar yang berlaku di sebuah sekolah di negeri Kedah. Cerita ini disampaikan semula oleh saya dan sebarang ketidaksamaan dengan cerita asal harap dimaafkan. Berapa ramaikah dari anda yang memberi penghargaan kepada guru yang bukan hanya mengajar di sekolah tetapi juga menjadi seorang kawan, ibu atau ayah kepada anak-anak anda semasa anda di rumah atau sibuk mencari rezeki.

Maka benarlah, guru adalah lilin yang membakar diri. Peranannya mencerahkan malam yang gelap tidak pernah dihargai dan tiada siapa yang ambil tahu.  Berapa banyakkah media yang sudi melaporkan pengorbanan seorang guru ?. Boleh dibilang kerana media hanya berlumba-lumba memaparkan keburukan guru kepada masyarakat.Maka kisah diatas  hanya akan  menjadi sebuah kisah dalam diari seorang guru.

APA ITU PROGRAM LINUS ?

                 Kalau anda ingin tahun LINUS adalah hampir sama dengan KIA 2M. Linus ialah Saringan Literasi dan Numerasi ( Literacy and Numeracy Screening ) iaitu satu program pemulihan untuk memastikan murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi di akhir 3 tahun persekolahan pendidikan rendah. Murid-murid yang menghadapi masalah membaca, menulis dan mengira iaitu 3M akan menjalani program ini.
                    Bertempat di Pulau Langkawi, guru-guru Bahasa Melayu seluruh Perlis telah berhimpun untuk mendengar taklimat dan membuat bengkel tentang program LINUS ini. Berbagai aktiviti telah diperkenalkan dalam memastikan program ini berjalan lancar pada bulan Mac nanti. Setiap aktiviti penuh dengan gelak -ketawa. Aktiviti ala-ala senam robik. Bengkel micro teaching.

IBU PELAJAR TAMPAR GURU

KANGAR - Sesi menjernihkan keadaan antara pihak sekolah dengan penjaga kepada seorang pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini bertukar tegang apabila seorang ibu 'naik angin' dengan menampar seorang guru sekolah itu kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku di bilik pengetua sekolah berkenaan selepas ibu pelajar tersebut gagal menahan emosi lalu menampar pipi guru lelaki berusia 26 tahun tersebut.

Difahamkan, sehari sebelum itu, guru Matematik tersebut didakwa telah menampar pelajar terbabit selepas mendapati dia membuat bising di luar kelas sehingga mengganggu pelajar lain.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, wanita berusia 40-an tersebut mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya selepas pulang dari sekolah.

Petikan Dari Kosmo Online

Terkejut ! Itulah yang dapat diluahkan terhadap sikap ibu bapa kini. Adakah tidak sampai ke tahap membimbangkah  lagi masalah pelajar pada masa kini untuk ibu bapa bersikap demikian. Ini akan menyebabkan pelajar akan semakin kurang ajar kerana tahu ibu bapa mereka sentiasa akan terus membela dan mempertahankan tindakan biadap mereka.

Kepada ibu bapa yang menyayangi anak membuta tuli.........pergilah lah ke sekolah anak anda tetapi jangan pergi hanya sekejap kerana anak anda sememangnya pandai berlakon apabila ada ibu bapanya di sekolah. Duduklah di sekolah sehari suntuk dan jika perlu duduklah selama sebulan.

Nescaya akan terserlah sikap biadap dan kurang ajar anak -anak mereka. Betulkanlah sikap mereka sebelum mereka menjadi sampah masyarakat sebagaimana ribuan remaja kita yang mempertaruhkan nyawa mereka dengan dadah dan rempit.

Guru bukan hanya mengajar tetapi mendidik.

SETAHUN BERLALU

          Sedar tak sedar sudah setahun aku berada di Perlis. Inilah gambar sekolah ku sekarang. Taklah besar macam di Pulau Pinang tetapi comel dan kiut, dikelilingi oleh sawah bendang. Rupa-rupanya begitu cepat masa berlalu. Benarlah bahawa masa itu emas dan masa tidak menunggu sesiapa. 

           Gembirakah aku disini ? Entahlah. Masih tercari-cari sesuatu yang membuat aku menyayangi sekolah ini seperti mana aku rasa di SK Permatang Tok Mahat. Mungkin aku terlalu sibuk dengan pengajian aku menyebabkan aku belum dapat membuat sesuatu untuk sekolah ini.

           Aku rindukan pasukan kawad ku ! Aku rindukan pasukan bola sepak ku ! Aku rindukan kawan-kawan ku ! Aku rindukan semuanya. Tapi itu cerita setahun lalu. Ibarat kata seorang musuh, orang di sana jangan di kenang-kenang atau ringkasnya jangan duk sibuk-sibuk.

           Peduli apa, sahabat kekal selamanya. Sesama islam kekal saudara hingga ke akhir hayat. Jadi tahun ini aku akan cuba menjadikan sekolah ini tempat aku mencurahkan bakti lalu menyayanginya dengan sepenuh hati.

        Tetapi.......... Hari Pendaftaran Tahun 1 pada 29 Disember 2009........ PK1 buat hal...........Hal apa????????? Itu cerita akan datang.

BOLA SEPAK MALAYSIA DARI KACA MATA KU

Pasukan Malaysia Johan Bolasepak Sukan Sea 2009 di Vientine, Laos.

Menang sewaktu berjumpa Thailand.

Inilah semangat yang kita inginkan.

(Gambar dari Kosmo)

                      Tahniah buat anak-anak muda Malaysia yang berjuang di Vientine, Laos kerana berjaya menjadi johan dalam pertandingan bola sepak sukan sea. Kemenangan ini adalah kemenangan buat mereka dan juga untuk rakyat Malaysia.

                      Perlu di ingat kemenangan ini merupakan satu kemenangan dalam satu pertandingan. Masih banyak lagi pertandingan yang perlu dilalui dan dimenangi. Walaupun tak mungkin semua dimenangi tetapi biarlah pada setiap pertandingan yang disertai itu adanya kualiti dari segi permainan.

                      Biarlah kita kalah kerana lawan lebih baik daripada kita dan bukannya kita kalah kerana kita lebih lemah dari lawan. Kita masih belum kuat walaupun kita menang kali ini kerana satu kemenangan belum menjadikan kita kuat. Begitu juga Thailand, masih belum lemah kerana kalah dalam satu pertandingan.

                    Thailand akan kembali dengan lebih garang dan Malaysia? Malaysia mesti terus bangkit ! Berlari lebih laju ! Menerjah lebih keras dan melompat lebih tinggi pada setiap pertandingan yang disertai barulah kita kuat pada negara-negara lain.

                      Sekali lagi tahniah buat anak-anak muda yang mewakili Malaysia. Teruskan melangkah dengan lebih gagah di masa hadapan.

                    Malaysia Juara Bola Sepak Sukan Sea di Laos ( Kekal dalam sejarah).

CUTI TIBA LAGI

                        Lihatlah betapa gembiranya mereka apabila tiba cuti akhir tahun. Bagai tak sabar dengan aktiviti masing-masing yang diceritakan berulang-ulang kali sesama mereka di dalam kelas pada minggu akhir persekolahan.

                       Semoga kamu semua sentiasa selamat dan kembali pada tahun hadapan untuk meneruskan sesi persekolahan 2010.

                         

                       Selamat bercuti cikgu ucapkan !

Lauk Rumah Atau Lauk Gerai ?

            Rasanya sudah lama aku tidak pernah memasak. Mungkin sudah hampir 5 atau 6  tahun. Bukannya langsung tak pernah ke dapur . Jangan salah faham.

           Selalu juga aku menolong isteri di dapur tetapi sekadar hanya menggoreng ikan, memasak nasi atau membuat jemput-jemput. Kalau masakan yang lebih rumit tu susah la sikit.

          Hari ini  boleh dikatakan bersejarah bagi aku apabila telah masuk ke dapur dan memasak gulai ayam dan ayam panggang bersos. Apapun semua makanan habis dimakan oleh anak-anak. Syukur ! Tak ada sebarang komplen. 

          Bukan apa.... sejak isteri aku melahirkan cahaya mata yang keempat pada 29 Oktober 2009, aku rasa telah banyak gerai makanan aku teroka di Perlis ini. Rasanya anak tekak ni tak lagi dapat menerima makanan dari gerai. 

           Jadi jalan penyelesaiannya jadi chef la aku hari ini.Walaubagaimanapun  penghargaan harus diberikan kepada Ketua Chef ( isteri aku la tu )yang memberi tunjuk ajar walaupun dari katilnya. Emmm..... esok nak masak apa pulak ?

Ayam Panggang Bersos. Habis semuanya. He he he.

Gulai Ayam. Ok tak ? 

Ni lauk untuk isteri dalam berpantang.

Apa Itu G6PD ?

G6PD Penyakit Kurang Enzim     

                'GLUCOSE 6 Phosphate Dehydrogenase deficiency' atau lebih dikenali sebagai G6PD adalah sejenis penyakit yang kerap berlaku. Dianggarkan 400 juta penduduk dunia mengalami masalah itu. G6PD sejenis penyakit yang dikaitkan dengan kromosom X, justeru masalah ini lazimnya berlaku kepada lelaki.  Dalam kes G6PD, enzim penting untuk melindungi sel darah merah pecah disebabkan proses oksidasi (proses menghasilkan oksigen dengan menggabungkan oksigen atau menyingkirkan hidrogen).

               Justeru, kekurangan enzim berkenaan menyebabkan sel darah merah mudah pecah. Tahap keseriusan penyakit G6PD ini bergantung kepada tahap kekurangan enzim itu. 

Bagaimana masalah ini dikesan?

                 

                  Penyakit ini dapat dikesan melalui ujian darah sebaik saja seorang bayi itu dilahirkan. Ujian darah itu akan mengesan keberkesanan enzim berkenaan. Melakukan ujian darah sebaik saja dilahirkan sudah diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Ini kerana masalah G6PD kerap berlaku di Malaysia dan boleh menyebabkan masalah di kalangan bayi baru lahir. 

                 Antara masalah yang mungkin timbul di kalangan bayi baru lahir adalah jaundis. Disebabkan kekurangan enzim itu, sel darah merah bayi mudah pecah. Ini menghasilkan kandungan bilirubin yang tinggi. 

                 Kandungan bilirubin yang terlalu tinggi boleh menyebabkan keadaan toksik kepada otak. Jika tidak diubati boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi.  Oleh kerana kemungkinan masalah besar yang mungkin timbul kepada bayi yang mengalami G6PD, kebanyakan institusi perubatan akan menahan bayi berkenaan di wad sekurang-kurangnya lima hari sebelum dibenarkan pulang.

                 Selain itu, bayi G6PD ini juga boleh berhadapan keadaan dinamakan “acute hemolysis”, iaitu keadaan wujudnya sel darah merah pecah pada kuantiti terlalu banyak. Ini menyebabkan bayi itu berasa penat dan kelihatan pucat dengan tiba tiba. Simptom lain yang mungkin dialami adalah sakit perut, jaundis, kencing bertukar berwarna gelap dan sakit pinggang. 

                Keadaan ini berlaku disebabkan jangkitan, memakan kacang parang jenis “fava beans” ataupun memakan ubatan yang boleh meninggikan proses oksidasi. Bukan semua jenis jangkitan akan menyebabkan masalah itu. Sebaliknya jangkitan yang selalu dikaitkan dengan acute hemolysis adalah jangkitan oleh bakteria. 

                  Banyak ubat-ubatan yang tidak dapat diambil oleh mereka yang mengalami masalah G6PD. Senarai ubatan ini panjang dan apa yang perlu dilakukan adalah selalu memberitahu doktor yang merawat anak mengenai masalah anak anda yang mengalami G6PD. Ini dapat mengelakkan mereka menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan komplikasi. 

 Di antara ubat-ubatan yang boleh membawa komplikasi     

             Ubat-ubatan penyakit malaria dan antibiotik yang mengandungi kandungan sulfur. Selain daripada ubat, kacang parang jenis “fava beans “ juga boleh menyebabkan oksidasi sel darah merah. Selain itu juga komplikasi G6PD juga dikaitkan dengan penggunaan ubat serangga.

Rawatan

                Cara rawatan yang utama adalah mengelakkan daripada perkara yang boleh menyebabkan acute hemolysis seperti yang dinyatakan di atas. Kadangkala sel darah merah yang pecah secara keterlaluan menyebabkan bayi itu pucat. Ini mungkin memerlukan pemindahan darah. Perlu diingatkan juga, masalah G6PD ini disebabkan kekurangan penghasilan enzim dan ini adalah masalah yang akan kekal buat selamanya.

                  Petikan ini saya ambil dan paparkan dari salah satu blog yang saya layari untuk mendapatkan maklumat tentang G6PD. Semoga ia dapat menjelaskan kekaburan tentang penyakit ini.

Kenangan Peserta Kursus KDP 14 Minggu Di IPGM Kampus Perlis

       Pada 2 Oktober 2009, berakhir sudah kursus KDP 14 Minggu bagi Kohot 7. Syukur kepada ilahi kerana kami semua berjaya menamatkan kursus ini dengan jayanya. Sudah menjadi asam garam kepada sebuah kehidupan, pastinya ada kenangan yang manis dan juga yang pahit, yang suka dan juga duka, yang akan diingati  dan yang ingin dilupakan. 

           Di sini telah terjalin sebuah persahabatan yang diharapkan akan berkekalan sehingga kami semua bertemu kembali di SMP nanti. Tiba ketikanya nanti kita akan kembali bersama-sama meneruskan perjuangan dalam mencapai cita yang diimpikan. Selamat kembali bertugas dan semoga kita dapat bersama lagi.

Kumpulan 1

Kumpulan 2

Kumpulan 3

Bersama Encik Ahmad Zul Penyelaras Kursus KDP 14 Minggu IPGM Kampus Perlis

PERGINYA TAK KAN KEMBALI

Gambar arwah ayah bersama  ibuku dan cucu-cucunya

Sudah lama aku mencari kekuatan untuk menulis dalam blog ini. Rasa kehilangan tak dapat ditahan-tahan lagi. Hanya kesibukkan mengejar tarikh akhir untuk menghantar assigment saja yang kadang-kadang melupakan pada perasaan kehilangan itu. 

Pada 2 September 2009, ayahanda tersayang telah kembali ke rahmatullah. Meninggalkan kami buat selama-lamanya. Ayahandaku telah selamat dikebumikan di kampung halamannya pada 3 September 2009 di Bukit Pinang, Kepala Batas, Kedah. Setiap kali aku melalui di hadapan tanah perkuburan, rasa sayu menyambar hati ini. Setiap orang akan pergi apabila sampai masanya. Itulah yang aku bisikkan untuk memujuk hati ini.

Terima kasih diatas segala susah payah mendidik kami hingga menjadi seperti sekarang.Aku akan sentiasa berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan orang-orang yang beriman.

Al-fatihah!

Masihkah Kau Ingat

Masihkah kau ingat tentang cerita adik Fitri yang terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang pada 29 Jun yang lalu? Pada pagi ini saya telah menerima SMS yang membawa berita sedih. Adik Norfitri B. Romli telah kembali ke rahmatullah dan jenazahnya akan dikebumikan pada pagi 29 Ogos 2009.

Masih saya ingat masa saya melawat arwah di rumah sebelum dia bertolak ke Pulau Pinang. Senyuman di bibirnya tak pernah hilang melihat kami yang datang. Hari ini saya, Cikgu Chong dan Cikgu Hakim menziarahi rumah Fitri sekali lagi. Tiada lagi senyuman, cuma jasad yang terbaring tenang.

Saya tidak boleh bercerita panjang tentang adik Fitri kerana saya hanya baru saja bertukar ke SK Long Boh tapi saya mengenalinya sewaktu dia menyertai pasukan bola SK Long Boh yang dilatih oleh saya. Hanya ada sekeping gambar dalam simpanan saya sebagai kenangan buat adik Fitri.

Sama-samalah kita doakan akan kesejahteraannya di akhirat kelak.

Al-Fatihah !

Jika Kamu Sudi Membaca

          Saya bukanlah menyebelahi mana-mana parti politik di Malaysia. Walaubagaimanapun saya adalah seorang pengundi yang berdaftar dan telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia dan undi saya adalah rahsia. Apabila saya terbaca petikan yang ditulis oleh Dr Mohd Asri, saya rasa terpanggil untuk menyiarkan semula keseluruhan teks yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia yang bertarikh 19 Julai 2009. Saya amat bersetuju dengan apa yang cuba disampaikan oleh beliau. Semoga orang lain juga dapat menghayati dan memperoleh hidayah darinya.

                                                 Jika Pas sudi mendengar

         Oleh kerana nama Islam disebut dalam nama Pas, maka parti itu hendaklah menghentikan sikap suka mencerca dan memaki hamun orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka. Pemimpin tertinggi parti tersebut hendaklah menasihati ahli-ahli mereka terutama dalam laman-laman web mereka, agar berakhlak dengan orang lain.

        Apakah setiap kali berbeza pendapat mereka perlu mencerca pihak yang mereka tidak suka ?! Mereka seakan lupa bahawa perkataan dan tulisan cercaan mereka itu akan dibawa ke mahkamah Allah di akhirat. Sebahagian mereka menghalalkan cercaan itu dengan menyatakan 'orang lain' lagi teruk. Apakah jika orang lain anda anggap teruk, maka anda boleh melakukannya juga ?

       Apakah akan terjadi kepada  masa depan negara jika kita mengajar budaya ' jangan berbeza pendapat dengan pemimpin kami, jika tidak awak kami maki '!! Maka rosaklah kebebasan bersuara dan berfikir. Apatah lagi jika isu agama dimasukkan. Sehingga kepada sesama sendiri, dicerca dan dihina.

      Mereka hina dan mencerca pemimpin sendiri apabila berlaku perbezaan dalam isu 'Kerajaan Perpaduan'. Mereka maki Tan Sri Harussani apabila mereka sudah tidak sebulu lagi dengannya. Dulu, mereka juga memaki saya. Lihatlah selepas kenyataan ini dikeluar, sebahagian mereka akan menyambutnya dengan makian dalam blog-blog mereka.

     Saya bukan bermusuh dengan Pas, tapi saya memberi teguran sebagai seorang Muslim kepada mereka, seperti mana banyak perkara saya memberi pandangan kepada UMNO juga. Generasi muda dan terpelajar makin mampu menilai. Budaya politik maki hamun dan carut marut kerana perbezaan pendapat bukan akhlak Islam, juga bukan kematangan politik masa depan.

DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

ialah bekas Mufti Perlis.

Mingguan Malaysia ( Ahad , 19 Julai 2009 )

Peringatan Buat Si Murai

                 Dalam kesibukkan aku sebagai seorang student, baru-baru ini aku diserang oleh Murai. Ha ! Ha ! Ha ! Bukannya burung murai tetapi manusia yang mempunyai hasad dengki dan bersembunyi di belakang nama burung.

                 Rasanya tak perlulah aku menghuraikan dengan lebih panjang akan perbuatan Murai Comel ni kerana bagi aku ini adalah perbuatan orang yang bersifat dengki dan hati yang busuk. Rakan-rakan ku di sana mengetahui dan telah membaca akan perbuatan Murai ni. Mereka semua sedang mencari Murai yang sememangnya berada di kalangan mereka.

                Pada mulanya aku memang nak buat tak tahu je. Anggap saja perbuatan manusia yang tak berapa stabil mentalnya. Tetapi aku rasa perlu juga bagi peringatan kat Murai seekor ni. Sebenarnya aku kenal Murai ni. Nak letak gambar kau dekat sini pun boleh.Bekas rakan setugas, tentulah aku kenal. Sembunyilah belakang nama burungpun  aku tetap kenal orangnya. Bukan aku seorang yang kenal siapa manusia yang bersembunyi di belakang nama Murai Comel ni tetapi beberapa orang lagi juga kenal siapa Murai ni.

              Kalau aku nak dedahkan perangai dan perbuatan buruk Murai Comel, penuhlah blog aku ni dengan cerita-cerita sensasi dan mengemparkan. Aku pernah bertugas di sana. Jadi aku tahu banyak perkara yang tak berapa elok tentang Murai Comel ni. Bukan sahaja cakap-cakap orang ( hear say) tetapi perkara-perkara benar yang ada bukti dan saksi dan boleh disahkan. Kalau naik mahkamah pun boleh menang punyalah. Betul tak Murai Comel ? "Ingat perkara-perkara yang tak elok yang pernah kita lakukan, satu hari akan datang menghantui kita semula". ( meminjam dari perumpamaan orang putih )

             Tapi....... bukan kali ini ! Aku masih belum mempunyai sebab untuk memuntahkan semua keburukan kau dekat sini dan biar satu dunia tahu. Aku bukan seperti kau Murai yang tersangat comel. Ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan kerana secara tidak langsung nama-nama  orang lain akan terpalit sama.

              This is some advice for you.In a war, there going to be casualties of war. Good people and bad people, friend and enemy.It's not worth it ! For now. But remember Pear Harbor ? When  damage and  the distruction are so great, whether you like or not, you must go to war and fight untill  you won.

              Jadi Murai, ingat ! Aku harap benda ni tak akan berulang. Tak berbaloi untuk aku mendedahkan perangai dan perbuatan tak elok kau. Aku pun tak ada banyak masa untuk memikirkan tentang burung seekor ni.Tapi kalau perlu dan terpaksa, aku akan buat. Bukan cakap kosong tetapi dengan bukti dan saksi. Kalau nak interview saksi masuk TV pun aku rasa mereka sanggup.

            So kalau dulu aku kata jumpa lagi tapi sekarang..........

      

Back To School

                 Pada 29 Jun 2009 secara rasminya aku telah menjadi seorang pelajar semula. Dengan niat untuk mempertingkatkan diri setelah sekian lama mendidik anak-anak bangsa, aku melangkah dengan bersemangat sekali. Sewaktu memandu masuk melalui pintu gerbang IPGM Perlis, aku sempat mengimbas kembali pengalaman sewaktu mula-mula hendak menjadi guru di Maktab Perguruan Sri Pinang. Tersenyum sendirian mengingati saat-saat itu.Dulu masih muda tapi sekarang umur dah semakin meningkat( bukannya tua ).

Di sinilah tempat aku akan belajar selama 14 minggu.

                 Ingatkan selepas mendaftar, akan terus berjalan minggu orientasi. Rupa-rupanya sangkaan aku meleset. Kami terpaksa menguruskan pendaftaran sendiri dengan pergi ke bank dan memasukkan wang pendaftaran. Sempat juga pergi mengambil gambar untuk diserahkan kepada pihak urusetia.Kemudian aku pun kembali semula ke IPGM Perlis untuk memulakan orientasi sebagai pelajar baru.

                Selepas 15 tahun aku mengajar, kini aku belajar semula. Rasanya belum terlambat kerana ada pepatah yang mengatakan "carilah ilmu sehingga ke akhir hayat".

Banyaknya yang perlu diuruskan sebelum boleh bergelar pelajar.

 
SHAIFUL FAIRUZ Blog | TNB