Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru untuk semua guru di Malaysia dan khasnya untuk guru-guru di SK Permas Jaya 1 ( 1995-1999), SJKC Yok Eng ( 2000-2006 ) , SK Permatang Tok Mahat ( 2006-2008 ) dan SK Long Boh ( 2009 ). Disini saya paparkan semula sajak "Guru Oh Guru" sebagai penghargaan kepada semua guru.
BERBURU
ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah
pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah
ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika
hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di
mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN
AWANG
1979
Pada 16 Mei ini kita akan menyambut Hari Guru sekali lagi. Seakan sudah menjadi tradisi, anak-anak murid akan memberi hadiah kepada guru mereka. Namun begitu dalam kesibukan guru-guru menerima hadiah dan ucapan hari guru dari anak didik mereka, ada guru yang seakan-akan terlepas dari tradisi ini iaitu guru disiplin sekolah. Guru disiplin boleh dikatakan guru yang paling ditakuti oleh murid-murid di sekolah. Sebuah kelas yang bising akan senyap apabila ternampak bayangan guru disiplin, murid akan menyimpang apabila ternampak kelibatnya, ada yang menangis apabila dipanggil dan berbagai-bagai lagi. Pernah seorang guru yang telah lama terlibat dengan jawatan guru disiplin memberitahu saya, guru disiplin adalah guru yang paling sedikit menerima hadiah ataupun ucapan hari guru. Sebaliknya berbagai-bagai niat yang tidak baik dilakukan kepada seorang guru disiplin seperti surat layang, memancitkan kereta guru dan lain-lain lagi . Sebagai seorang bekas guru disiplin saya mengakui akan perkara tersebut tetapi bagi saya bukan hadiah yang menjadi ukuran , selagi kita menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Cukup sekadar mengetahui semua masalah dapat diselesaikan dengan seadil-adilnya, semua murid mematuhi peraturan sekolah, semua murid dapat mendisiplinkan diri, semua murid dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan selamat walaupun bukan seratus peratusnya. Memenuhi tanggungjawab dan amanah merupakan satu kepuasan dapat membantu memulihkan semangat samada dari segi fizikal dan mental dalam menjalankan tugas sepanjang sesi persekolahan. Bukan hadiah dan ucapan yang dipinta, cukup sekadar mengetahui mereka memahami akan peraturan-peraturan,nilai-nilai yang baik untuk dijadikan bekalan di masa hadapan. Ucapan atau hadiah hanyalah bonus bagi seorang guru disiplin. Selamat Hari Guru untuk semua guru disiplin di Malaysia.
"Petikan ini saya copy dan paste daripada blog Cikgu Malaysia. Saya dapati apa yang disampaikan mencerminkan keadaan masyarakat Malaysia yang berlaku pada masa kini.Saya berharap bagi pembaca petikan ini dapat membezakan sesuatu yang baik ataupun tidak supaya kita tidak terus hanyut dalam dunia yang penuh dengan keseronokan sementara sahaja."
ANUGERAH Industri Muzik (AIM) kali ke-16 baru sahaja melabuhkan sauhnya. Artis-artis yang ditabalkan sebagai pemenang dalam kategori masing-masing pulang dengan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Pengiktirafan demi pengiktirafan dihamparkan kepada golongan artis atas jasa menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.
Malah artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara telah meraih sebanyak lebih daripada 150 anugerah seni dalam dan luar negara hasil daripada nyanyiannya yang berjaya menghibur para pendengar.
Terbaru, Tomok pula dianugerahkan dengan ganjaran RM1 juta kerana memenangi pertandingan One In A Million.Meet Uncle Hussain juga tidak kurang hebatnya apabila telah mengungguli tiga anugerah hiburan berprestij tahun ini iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, Anugerah Bintang Popular dan AIM ke-16.
Di sudut yang lain, doktor yang bergadai nyawa siang dan malam menyelamatkan nyawa ribuan manusia jarang diberi penghormatan sebesar itu, malah sering dipersalahkan atas kelemahan dan kecuaian yang berlaku.
Mungkin tidak ramai yang prihatin apabila para doktor dan jururawat sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali negara dilanda wabak penyakit yang merungsingkan semua.Lihat sahaja ketika ini, di saat seluruh dunia bimbang akan penyebaran virus influenza A (H1N1), para doktor berkorban nyawa, menanggung risiko kemungkinan dijangkiti wabak itu, apabila mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas memeriksa setiap pelawat yang tiba di pintu masuk utama negara.
Mereka dikerah bertugas siang dan malam semata-mata bagi mengawal penyebaran wabak ini kepada rakyat Malaysia.Perkara serupa juga berlaku ketika negara diserang virus JE dan virus Nipah. Para doktor dan jururawat jugalah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, sehingga ada di kalangan mereka yang turut dijangkiti virus itu.
Selayaknya para doktor dan jururawat diberi penghormatan yang sebesar-besarnya atas jasa bakti menyelamatkan seluruh warga negara Malaysia tanpa mengira kaum dan ikutan agama daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.
Kecuaian yang mungkin dilakukan oleh sesetengah pengamal perubatan tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekehkan mereka, sehingga seolah-olah segala jasa bakti kepada negara dilupakan begitu sahaja.
Sebagai manusia biasa yang tidak maksum, semua perlu sedar bahawa kekurangan dan kealpaan merupakan sifat semula jadi manusia. Malah yang afdal, segala kelemahan dan kecuaian yang berlaku diganti dengan usaha-usaha penambah baikkan untuk manfaat bersama.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ''Semua anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat, berhenti daripada melakukan kesalahan itu.''
Golongan guru juga sering menerima nasib yang sama. Setiap kali pelajar dihukum kerana kenakalan anak-anak, mereka dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata nista. Masyarakat kelihatan alpa dengan cabaran dunia pendidikan masa kini yang jauh berbeza daripada zaman lalu.
Sering kali dilaporkan berita murid membelasah guru dan tidak kurang juga terdapat laporan-laporan yang melibatkan salah laku guru. Semua ini berlaku kerana faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada masalah yang berlaku.
Oleh itu, ungkapan guru umpama lilin, membakar diri untuk kebahagiaan orang lain selayaknya dihayati dengan rasa tanggungjawab bersama. Ini kerana tugas memberi pendidikan tidak hanya terbatas kepada guru di sekolah sepenuhnya.
Ibu bapa juga wajar memainkan peranan sebagai pendidik kepada anak ketika mereka di rumah. Malah jika diteliti, mereka lebih lama berada di rumah berbanding di sekolah yang hanya memakan masa lebih kurang tujuh hingga lapan jam sahaja sehari.
Ibu bapa juga disaran menjadi contoh teladan terbaik kepada anak-anak dengan sentiasa melakukan ketaatan dan kebajikan.
Amalan solat berjemaah bersama seluruh ahli keluarga selain dapat merapatkan hubungan dengan Allah SWT juga mampu menjadi mekanisme terbaik kepada pendidikan anak-anak.
Tulisan ini tidak bermaksud untuk menyatakan isu betul dan salah, sebaliknya marilah kita seluruh warga negara atas prinsip One Malaysia, bersama berganding bahu memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku.
Amalan menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan untuk kejayaan bersama. Adalah lebih manis jika cadangan-cadangan penambahbaikkan disalurkan kepada pihak-pihak tertentu agar perkara serupa tidak berulang kembali.
MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya,
Johor Bahru
UMO
Pada 27 April 2009, Cikgu Azreezul Abdullah telah kembali ke rahmatullah meninggalkan kita semua. Beliau adalah seorang guru yang amat berdedikasi dalam menjalankan tugasnya di Sekolah Kebangsaan Long Boh. Semasa beliau sedang bergelut melawan penyakitnya, beliau masih terus datang ke sekolah malah masih mengajar seboleh mungkin. Sebenarnya Cikgu Azreezul boleh berehat di rumah memandangkan keadaannya yang tidak mengizinkan tetapi sebaliknya beliau telah memilih untukberada di sekolah dan masih masuk ke kelas seperti biasa.
Cikgu Azreezul menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kangar dan di sisi beliau ialah ahli keluarganya dan rakan-rakan yang mengenali beliau. Walaupun saya hanya mengenali beliau tidak sampai lima bulan namun dalam masa yang singkat itu saya sempat mengenali hati budinya. Tidak dapat digambarkan perasaan ini semasa menerima berita yang Cikgu Azreezul sedang tenat di hospital dan apabila sampai di sana saya disambut dengan berita yang beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir. Terasa sungguh kehilangan seorang rakan seperjuangan. Rasanya masih belum cukup masa bersama dan masih banyak ilmu yang boleh dimanfaat dari beliau. Takdir juga yang menentukannya dan hanya Allah Yang Maha Esa yang mengetahuinya.
Buat Cikgu Azreezul, dirimu akan kami kenang selalu, jasamu akan kami ingat selalu. Kami di Sekolah Kebangsaan Long Boh akan meneruskan perjuangan ini biarpun dirimu sudah tiada. Al Fatihah.
Pada 28 Mac 2009, saya telah menghadiri pertandingan kawad yang telah diadakan di Stadium Batu Kawan. Bertolak dari Perlis pada jam 6.30 pagi, saya sampai ke rumah keluarga saya pada jam 9.00 pagi. Sewaktu saya sampai di stadium pertandingan telah dimulakan. Pertandingan tahun ini lebih meriah kerana bilangan penyertaan melebihi 60 pasukan iaitu tahun yang paling banyak penyertaan sejak pertandingan ini diperkenalkan. Pertandingan kawad ini dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu kategori sekolah rendah, sek. men TKRS, NGO dan badan kerajaan. Setiap kategori dibahagikan kepada dua iaitu putera dan puteri. Hadirnya saya pada hari itu adalah untuk memberi sokongan kepada bekas anak didik saya dari Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat. Saya telah melatih pasukan kawad ini sejak dari tahun 2006 sehinggalah saya bertukar ke Perlis pada tahun 2009. Pasukan ini telah berjaya menjadi johan dan telah mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan selama 6 tahun berturut-turut. Saya amat berharap bahawa pasukan kawad TKRS SKPTM berjaya menjadi johan buat kali ke tujuh dan seterusnya bertanding di peringkat negeri. Saya juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan dan ramai diantara mereka yang masih tidak mengetahui bahawa saya telah berpindah ke Perlis. Jadi saya rasa amat bertuah dan gembira kerana dapat berjumpa dengan mereka . Bekas anak didik saya agak gembira apabila dapat bertemu dengan saya. Saya mengambil peluang bercerita dengan mereka tentang pengalaman mereka berlatih sejak peninggalan saya. Saya bersyukur mereka yang terlibat dengan pasukan kawad masih terus setia bersama pasukan ini di samping penambahan ahli-ahli baru bagi menggantikan ahli-ahli yang telah naik ke sekolah menengah.Murid-murid yang telah naik ke sekolah menengah juga turut berjumpa dengan saya sambil bertanya khabar. Amat bertuah kerana apa yang diajar oleh saya masih diamalkan oleh mereka walaupun dimana mereka berada. Apabila pertandingan tamat Pasukan TKRS SKPTM sekali lagi telah dinobatkan senagai johan daerah buat kali ke 7 . Saya adalah salah seorang yang turut gembira di atas kejayaan mereka kerana saya tahu untuk menjadi sebuah pasukan yang berjaya , sesi latihan yang berterusan perlu dilakukan. Tahniah buat pasukan kawad SKPTM. Saya doakan kejayaan seterusnya di peringkat negeri nanti.
Masyarakat kini semakin lupa akan jasa seorang guru. Mereka seolah-lupa bahawa sejarah mereka telah dimulakan oleh seorang guru, tidak kiralah guru itu seorang guru biasa atau guru agama. Saya paparkan sebuah sajak yang ditulis oleh sasterawan negara iaitu saudara Usman Awang untuk renungan kita bersama. Guru Oh Guru Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa , Jika hari ini seorang raja menaiki tahta , Jika hari ini seorang presiden sebuah negara , Jika hari ini seorang ulama mulia , Jika hari ini seorang peguam menang bicara , Jika hari ini seorang penulis terkemuka , Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa , Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa , Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
- SK Permas Jaya 1 2009
Inilah sekolah dimana saya mula-mula mengajar iaitu Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 1 yang terletak di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, Johor. Sekolah ini dulunya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Plentong, mula beroperasi pada 20 Jun 1988. Sekolah ini mempunyai seramai 1670 orang murid dan 76 orang guru ( 1996 ) dan beroperasi dalam dua sesi iaitu pagi dan petang. Mula bertugas di SKPJ1 pada bulan Disember 1995 merupakan pengalaman yang tidak ternilai. Saya bertolak dari Pulau Pinang untuk melapor diri bersama rakan-rakan dengan menaiki bas ekspress. Pada masa itu saya rasa sudah berdikari tidak seperti budak-budak sekarang yang melapor diri bersama ibubapa masing-masing malah kadang-kadang mak cik dan pak cik pun datang sekali.Tiba di Johor Bahru pada pukul 5.00 pagi berhampiran dengan stesen keretapi Johor Bahru. Kami menunggu di situ sehingga 8.00 pagi untuk mengambil motorsikal yang telah dipos terlebih dahulu. Kemudian kami menumpang di rumah kenalan di Skudai. Sehinggalah kami mendapat rumah sewa di Taman Johor Jaya. Sepanjang saya berada di SKPJ1 saya telah berkhidmat di bawah dua orang guru besar iaitu En Abd Rashid B. Haji Saidun dan Tuan Haji Jamale Bin Haji Paiman. Minat yang mendalam dalam bidang bola sepak telah mendorong saya melibatkan diri dalam melatih pasukan sekolah dan alhamdullilah berjaya menjadi johan pertandingan bawah 11 pada tahun 1999. Satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Selain itu saya juga telah dilantik menjadi pemimpin pasukan pengakap SKPJ1. Banyak lagi pengalaman yang berharga saya perolehi sewaktu saya berkhidmat di Johor terutamanya di SKPJ1 yang telah membentuk dan mendisiplinkan diri saya sebagai seorang warga pendidik. Kenangan bersama-sama guru-guru di SKPJ1 merupakan satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Adalah mustahil untuk saya menyebut semua nama mereka tetapi andaikata mereka membaca nukilan yang tak seberapa ni dan masih mengenali saya sudi-sudilah untuk menghubungngi saya.
Saya kini berada di Negeri Perlis setelah bertugas di Pulau Pinang selama 8 tahun dan di Negeri Johor 5 tahun. Ini adalah catatan saya yang pertama sebagai pengenalan. Insyaallah akan saya kongsi pengalaman yang menarik sepanjang saya berada di bumi Malaysia yang tercinta ini. Jumpa lagi !
1 April 2009 adalah hari yang dikatakan bahawa cecacing conficker ini akan mula diaktifkan. Kerosakan yang dijangka berlaku masih belum dapat dipastikan. Namun begitu untuk perkara ini berlaku masih belum terbukti kerana ia tetap bergantung kepada individu yang mengawal cecacing itu. Ia mungkin berlaku pada 1 April atau mungkin bila-bila masa yang dikehendakinya.
Semua pengguna komputer adalah disarankan sentiasa dikemaskini dengan patch windows yang terkini. Ini adalah untuk mengelakkan komputer anda diceroboh oleh cecacing. Selain itu anti virus yang selalu dikemaskini juga penting untuk menentang cecacing yang berjaya melepasi sistem windows.
Anda boleh menggunakan beberapa perisian yang boleh dimuat turun dari internet seperti Symantec Conficker ( Downadup ), Trend Micro,s Cleanup Engine, atau Malwarebytes untuk memastikan komputer anda bebas dari Conficker.
Apa pun pastikan anda telah membuat salinan sebagai langkah keselamatan jika cecacing Conficker berjaya menceroboh komputer anda.
Mungkinkah ini adalah satu lagi permainan April Fool !
|